Tags

TAHUN 2013 ramai pelajar-pelajar yang berpindah sekolah terutamanya sekolah rendah ke sekolah menengah dari daerah ke bahagian  ataupun dari bahagian ke bahagian lain ataupun juga dari negeri ke negeri yang lain. Situasi sebegini biasanya berlaku awal tahun persekolahan dan kebanyakkan yang terpilih untuk berpindah merupakan pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang.

Jika dilihat dari satu sudut, ia suatu yang baik kerana memberi ruang kepada para pelajar yang cemerlang belajar di tempat selesa dan kemudahan yang baik serta dapat bersaing dengan para pelajar terpilih dari pelbagai tempat, kaum dan agama.

Reputasi ke atas pelajar terbabit dari segi pelajaran amat tidak diragui kerana terpilih untuk mendapat tempat di sekolah yang terpilih. Ibubapa bangga dengan penempatan anak-anak mereka yang jauh dari tempat asal kerana prestasi yang membanggakan dan sepatutnya harus ditempatkan di sekolah begitu.

Di Limbang misalnya, kebanyakan pelajar-pelajar yang cemerlang akan ditempatkan di serata bahagian lain yang mempunyai sekolah yang berpestij dan sesuai untuk pelajar-pelajar yang mempunyai keputusan yang hebat.

Namun, yang aku tak setuju ni, bila keputusan peperiksaan PMR, SPM dan STPM keluar kebanyakkan yang dapat cemerlang akan diraikan dan mana-mana sekolah yang menempatkan pelajar-pelajar cemerlang di negeri Sarawak ni akan mendapat jolokan sekolah yang terbaik tetapi pelajar yang ditempatkan merupakan pelajar-pelajar yang diambil dari bahagian-bahagian lain di negeri Sarawak.

Jadi, kesianlah bagi bahagian-bahagian yang tidak dapat jolokan sekolah terbaik  namun mempunyai pelajar-pelajar terbaik yang telah ditempatkan di bahagian lain atas alasan tiada sekolah terbaik untuk mereka kerana keputusan yang cemerlang diperolehi.

Dalam situasi sebegini, amat perlu bagi pihak berkenaan mewujudkan sekolah terpilih bagi setiap bahagian agar prestasi yang sebenar dapat diwujudkan. Ia juga untuk mengelakkan pelajar-pelajar yang terbaik tidak dihantar ke bahagian lain dan mewujudkan ketidakseimbangan kepada kualiti prestasi peperiksaan yang dijalankan kerana kelompangan pelajar-pelajar cemerlang. Prestasi bagi bahagian yang kurang pelajar-pelajar cemerlang akan menghadapi situasi pengeluaran pelajar yang berkualiti dari segi akademik dan keputusan peperiksaan.

Ia juga memberi impak kepada perkembangan ekonomi dan sosial bagi mana-mana bahagian yang tidak mengeluarkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan Bahagian Limbang telah mengalaminya!