Tags

UNTUK sesiapa yang nak masuk ke Limbang samada melalui Jalan Tedungan(sempadan Tedungan/Kuala Lurah) atau Jalan Pandaruan(sempadan Pandaruan/Temburong) khasnya untuk yang suka ikut jalan darat, hanya itu sahaja jalan untuk ke Limbang. Tiada lagi jalan untuk masuk ke Limbang kecuali menggunakan kapal terbang ataupun bot.

Dan jika sesiapa yang nak keluar dari Limbang hanya dua jalan ini sahaja yang dapat dilalui oleh siapa-siapa yang berada di Limbang. Seronokkan!

Yang tak seronoknya, bila ada apa-apa program yang diadakan di Limbang terutamanya di bandar Limbang pasti kesesakan jalan akan berlaku. Sebab apa? Sebab hanya ada satu jalan sahaja yang dapat untuk kereta-kereta yang nak ke bandar Limbang. Sesiapa yang nak masuk bandar Limbang dan nak keluar dari bandar Limbang pasti akan tersekat di jalan-jalan tersebut. Lebih mudah nak kata, berlakulah kesesakan.

Aku cerita tentang jalan raya ini, bukannya nak memberitahu bahawa jalan di Limbang sudah sesak seperti jalan-jalan di bandar besar yang lain. Yang aku nak fokuskan mengapa hanya ada satu jalan sahaja! Mengapa tidak dibuat jalan lain untuk masuk ke bandar Limbang ataupun jalan keluar selain dari jalan yang aku katakan tadi.

Mengapa tidak dibuat jalan yang merentasi Bukit Mas dari Kampung Batu Bakarang  untuk ke Kampung Pahlawan? Ataupun buat satu jambatan yang merentasi sungai Limbang untuk menghubungkan bandar Limbang dengan kampung-kampung yang di seberang, dan mudah untuk ke Brunei melalui Kampung Pendam. Tak perlu lagi nak berpusing-pusing dalam Limbang.

Mungkin juga strategik orang bisnes, jika dibuatlah jalan singkat yang aku katakan tadi, maka tak singgahlah orang Brunei ke bandar Limbang. Maksudnya tak lakulah bisnes-bisnes di bandar Limbang. Bila dah jadi begitu, maka Limbang jadi bandar sunyi dan sumber pendapatanpun kurang.

Berkemungkinan besar juga kos untuk menarah Bukit Mas amat tinggi dan membina jambatan merentasi sungai Limbang juga tinggi. Siapa nak tanggung kos pembinaan nanti. Merugikan kerana manfaat hanya untuk orang Brunei sahaja nanti. Orang Brunei tidak akan singgah di bandar Limbang jika jalan singkat dibina nanti. Limbang hanya laluan untuk mereka ke Sabah ataupun untuk ke Miri(bagi orang Brunei Temburong)

Payahkan difikir semua ini. Jadi, jika terjadilah apa yang aku katakan tadi, apa jadi dengan bandar Limbang nanti. Adakah masih wujudnya Hotel Purnama? Peniaga-peniaga kecil macamana pula mereka nak cari rezeki yang kebanyakkan yang membeli jualan hanyalah orang Brunei. Orang tempatan bukannya tak membeli, membeli juga tetapi hanya barangan keperluan seperti makanan sahaja. Barangan yang lain orang Limbang membeli belah di Miri ataupun di KK.

Bagaimana dengan orang-orang muda? Masihkah mereka nak tinggal di Limbang atau menjadi perantau?

Kalau nak ikutkan teori tadi, pasti harga barang di Limbang akan turun, murah, tiada pilihan dan kedai-kedai di Limbang akan berkurangan serta sunyi.

Kesimpulannya, jika dibuat pembaharuan dari segi lanskap untuk jalan-jalan baru di Limbang, ia boleh mendatangkan kesan dari aspek yang lain kadang-kadang ia merugikan juga. Macamana ya? Sekarang ini aku tinggal di Limbang.