Tags

BEBERAPA hari lagi kita akan menyambut lebaran yang mulia dan akan meninggalkan Ramadhan yang mubarak. Sepanjang aku berada di bulan Ramadhan yang mulia ini pelbagai kerenah manusia yang aku temui.

Seperti Ramadhan tahun-tahun yang lepas, minggu pertama Ramadhan kemeriahan amat terasa bila aku berada di surau dan masjid untuk bersolah terawih. Minggu kedua aku lihat saf-saf mulai kurang. Gangguan bising dari suara kanak-kanak semakin kurang berbanding minggu pertama Ramadhan.

Dan kelibat mereka yang jarang datang ke surau yang hanya datang pada bulan Ramadhan sudah hilang kalibatnya. Mereka hanya bersolah terawih setakat 8 rakaat dan angkat kaki bila cukup 8 rakaat.

Sekarang sudah masuk minggu ketiga, saf di surau aku semakin berkurangan daripada 4 saf kepada 1 saf. Kalibat budak-budak semakin berkurangan dan hanya kedengaran bunyi mercun semakin memekak telinga semasa solah terawih sedang berjalan. Aku fikir budak-budak dah mula bergembira menanti kehadiran lebaran.

Kalau ikutkan keadaan yang berlaku, sememangnya kita lebih menghargai kemeriahan lebaran daripada menghargai kemeriahan Ramadhan. Bagi kita yang masih tebal kecintaan kepada dunia menganggap amalan yang ada pada bulan Ramadhan tidak terasa pentingnya dan malah kita ambil ringan terhadap amalan tersebut.

10 terakhir Ramahan ini merupakan puncak kepada penerimaan Allah atas apa yang kita lalui sepanjang kita beramal dan puncak kepada penerimaan amal tersebut merupakan hadiah yang paling bernilai iaitu “lailatul qadar” akan menyusul.

Namun, keghairahan kita untuk mempersiapkan kedatangan lebaran begitu diberatkan berbanding keghairahan kita untuk mencari “lailatul qadar” di saat-saat akhir Ramadhan.

Kesimpulannya, kita masih lagi teruja dengan kedatangan lebaran tanpa kita memikirkan bagaimana amalan di bulan Ramadhan ini dapat ditingkatkan berbanding bulan-bulan lain. Jika di bulan yang mulia ini kita tidak mampu untuk menambah atau meningkatkan ibadat kita, bagaimana dengan bulan yang lain? Dimana syaitan dan iblis dilepaskan semula oleh Allah swt.