Tags

RAMADHAN datang lagi. Aku masih lagi di Limbang. Tiga tahun yang lepas aku menyambut Ramadhan di perantauan dan sekarang aku meraikan Ramadhan bersama keluarga. Tiada apa yang dapat hendak aku katakan tentang Ramadhan yang sering datang. Ramadhan tetap akan datang menjengah kita dan tahun depan akan tiba lagi.

Adakah Ramadhan iaitu amalan berpuasa, ibadat wajib dalam bulan tersebut,  digunakan sepenuhnya untuk kita beribadat kerana dalam bulan yang mubarak ini banyak kelebihan diturunkan dan ganjaran digandakan samada ibadat wajib atau sunat.

Setakat ini, yang aku tengok hanya banyak promosi tentang keperluan yang akan digunakan semasa bulan tersebut dan keperluan untuk meraikan Syawal yang akan tiba telah banyak berkumandang dan didendangkan.

Mungkin hanya itulah yang dapat difahami oleh segelintir besar orang Islam dan bukan Islam bahawa bulan Ramadhan hanya untuk itu sahaja.

Sepatutnya bulan ini perlu dipromosikan sebagai bulan untuk beribadat kepada semua orang Islam dan yang bukan Islam akan terkesan dengan suasana ibadat yang dijalankan oleh orang Islam dan bukannya terkesan dengan keriuhan orang Islam yang menjual kuih-muih dan lauk-pauk yang pelbagai aneka.

Dan seperti biasanya, Insya-Allah masjid dan surau akan penuh pada bulan yang mulia ini. Diharapkan juga mereka-mereka yang sudah mengucap kalimah syahadah, datanglah memakmurkan rumah Allah dan konsistanlah dalam mengerjakan ibadat solah. Janganlah solah hanya bulan Ramadhan sahaja, bulan lain “datang bulan” pulak.

Jadilah seorang Islam yang benar-benar Islam. Selamat berpuasa untuk semua.