Tags

PERTANDINGAN bola sepak Piala Eropah baru berakhir semalam dengan kemenangan dirangkul oleh pasukan Sepanyol. Bagi aku, kemenangan yang dikecapi oleh pasukan Sepanyol sememangnya sudah diduga dan kekalahan yang dialami oleh pasukan Itali juga telah kuramali juga. Di tengah malam yang pekat, ramai antara kita telah menonton perlawanan yang hebat itu, cuma aku tidak meonton pada malam itu dan akupun tak tahu yang malam itu ada perlawanan akhir Piala Eropah.

Bila aku buka ‘buku muka’ pagi tadi, rupanya malam tadi telah berlangsungnya perlawanan yang penting, dengan Sepanyol mengalahkan Itali dengan jaringan 4-0. Dan aku terbacalah komen-komen mereka tentang keterujaan mereka dengan kemenangan yang dicapai oleh pasukan Sepanyol. Juga mereka komen, dah agak dah Sepanyol menang dan Itali akan kalah. Komen yang mereka beri kadang-kadang tak berasas, hanya mereka meminati pasukan tersebut bukan atas kepandaian menilai corak permainan yang ada pada pasukan terbabit.

Jadi, komen-komen yang ada di “buku muka” hanyalah komen yang tak ada nilai, iaitu fakta yang jelas dan tepat kerana membuat komen berdasarkan andaian dan sukakan pasukan terbabit.

Walaupun begitu, minat terhadap bola sepak sudah bercambah dan minat untuk menilai sesuatu sukan sudah terbentuk dalam pemikiran orang kita walaupun tak pernah main bola. Walaupun hanya setakat minat kerana bola sepak merupakan sukan yang majoritinya disukai ramai dan kita hanya “pak turut” yang tak tahu apa-apa tentang bola sepak.

Pernah kawan aku menafsirkan erti bola, BOLA tafsiran beliau adalah “Buat Orang Lupa Allah”. Bagi beliau, peminat bola ini sanggup meninggalkan solat fardhu hanya semata-mata untuk bermain bola sepak dan menonton bola sepak yang menjejaskan hubungan dengan Allah swt.

Betul juga tafsiran beliau, berjuta-juta umat Islam yang bermain dan menonton bola sepak pasti akan tertinggal solat fardhu mereka dan bagi mereka yang betul-betul menjaga solat mungkin boleh untuk menjaga solat tetapi terlewat sikit dan ada yang terlewat banyak.

Bagi aku, tak salah untuk kita bermain atau menonton sukan tersebut tetapi kena disiplinkan diri agar jangan terlampau taksub dengan sukan tersebut sehingga tertinggal perkara-perkara yang penting lagi berniali di sisi Allah swt. Jadi, kena pandai-pandailah mendisiplinkan diri agar tidak menjadi orang yang rugi dunia dan akhirat.

Seperkara lagi, aku sebenarnya dah lama tak bermain bola sepak, hampir 12 tahun tak berkecimpung dalam sukan tersebut. Ada juga aku bermain bola sepak tapi tak seaktif dulu, hanya bila ada jemputan sahaja itupun tenaga dah tak larat lagi nak berlari. Minat masih ada lagi tapi atas kesibukan yang begitu ektrem memadamkan minat yang selama ini aku bentuk sejak aku dibangku sekolah rendah lagi.

Bagi aku, tiada sesalan untuk aku meninggalkan sukan tersebut kerana jika aku teruskan dengan minat tersebut aku takkan ke mana-mana pun. Aku mungkin hanya menjadi pemain kampung sahaja kerana pemilihan untuk menjadi seorang pemain bola sepak sudah “dipolitikkan”. Walaupun di peringkat bahagian, nak jadi wakil negeripun payah kerana pemilihan untuk menjadi pemain negeri bukan berdasarkan bakat dan kebolehan tetapi berdasarkan apa hubungan kita dengan orang atasan.

Sebab itulah pasukan bola sepak negara kita tak ke mana-mana dan tahap pemain-pemainpun seperti budak hingusan yang baru belajar untuk menyepak bola. Dan ada juga dikalangan mereka yang betul-betul berbakat tapi tak dapat berkembang kerana mereka berpasukan dengan kalangan mereka yang tak berbakat dan merosak mereka yang telah berbakat.