Tags

PADA 16hb Mei ini tadi, Hari Guru telah disambut di seluruh negara dengan pelbagai program dibuat untuk menyatakan penghormatan terhadap para guru yang mengajar di sekolah-sekolah samada kerajaan atau bukan kerajaan.

Anak-anak aku berkesempatan jua untuk meraikan Hari Guru dengan membawa hadiah untuk gurunya, begitu teruja para pelajar untuk meraikan Hari Guru untuk guru-guru mereka. Bagi aku, Hari Guru merupakan tanda penghormatan terhadap mereka-mereka yang telah menabur jasa kepada masyarakat disekeliling agar mereka menjadi manusia yang berkepakaran dan tahu menjalankan urusan yang berkaitan dengan bidang yang mereka ceburi dan juga urusan akhirat.

Sesiapa yang memberi ilmu dan kepakaran kepada seseorang, itulah guru sebenarnya bagi tafsiran aku jikalah tidak dilihat dari sudut kewujudan akademik yang ada pada badan seseorang yang memberi ilmu dan kepakaran kepada individu yang lain.

Jika kita lihat senario sekarang, nilai seorang guru di mata masyarakat semakin terhakis ataupun kurang dihormati atas sebab-sebab perlakuan dan kes-kes yang bersabit dengan jenayah dan salahlaku yang berlaku terhadap guru-guru yang terbabit. Maksudnya, bukan semua guru tak dihormati, mungkin sebahagian masih lagi dikagumi dan dihormati atas kapasiti dia seorang guru yang diikhtiraf atau atas dia yang memasuki jurusan perguruan.

Dan juga tidak dapat dinafikan bahawa guru-guru ini perlu untuk kita hargai kerana sumbangan yang besar terhadap kecelikan masyarakat sehingga terbinanya tamadun-tamadun yang hebat di dunia ini.

Dan sekarang ini juga aku dan mereka-mereka yang lain masih tidak pasti, adakah guru-guru sekarang ini, mereka mendidik dan mengajar atas dasar kesedaran terhadap amanah mereka sebagai seorang guru untuk mendidik dan mengajar atau sekadar menanti imbuhan hujung bulan? Ataupun tidak ada pilihan lain, ambil sahajalah jawatan guru, asalkan ada gaji tetap!

Tidak disangkalkan, sememangnya masih ada lagi guru-guru yang berkhidmat dengan ikhlas dan penuh kesedaran bahawa dia seorang guru yang mendidk anak-anak bangsa.

Walaubagaimanapun, aku nak ucapkan selamat Hari Guru untuk guru-guru yang pernah mengajar aku semasa aku tak tahu apa-apa kepada aku tahu apa-apa yang ada di dunia ini dan terima kasih guruku…(dulu aku pernah menjadi guru sandaran atas kapasiti nak tunggu kerja yang lain)