Tags

DALAM minggu ini tadi, warga Limbang yang melibatkan diri dalam Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung(JKKK)  telah menerima sebuah komputer riba setiap seorang. Majlis penyerahan komputer riba telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Limbang, YB Hasbi Habibollah.Dimaklumkan komputer riba yang diagihkan untuk kawasan Parlimen P.221 Limbang sebanyak 4,500 buah diperuntuk daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

 Aku rasa begitu bertuah sesiapa yang terlibat secara langsung dalam JKKK kerana mendapat percuma sebuah komputer riba daripada kerajaan BN. Tujuan pengagihan computer tersebut lebih untuk memberi pendedahan kepada ahli JKKK agar lebih mesra IT dan berkepakaran dalam menggunakan teknologi IT dalam menyelesaikan permasalahan dalam JKKK khasnya.

 Mungkin ada dikalangan kita mengatakan pengagihan computer riba lebih kepada strategi politik bagi menangani hati pengundi-pengundi. Ataupun ia suatu pembaziran kepada dana negara kerana pembelanjaan yang tidak memberi pulangan balik ke atas pelaburan yang dikeluarkan samada dari sudut kewangan dan manafaat kepada JKKK kerana ramai di kalangan JKKK masih buta IT.

 Mungkin juga ada dikalangan kita mencongak, mengapa tidak dilaburkan wang tersebut untuk manafaat yang lain, contohnya bina jalanraya, membantu orang-orang miskin, kemudahan air bersih dan sambungan letrik di pendalaman yang belum mengecapinya.

 Ada juga yang berfikir mengapa wang tersebut tidak digunakan untuk membeli aset yang boleh untuk mendatangkan pulangan balik kepada JKKK. Contohnya seperti membeli bangunan untuk JKKK bagi kawasan Parlimen Limbang dan bangunan itu nanti boleh dijadikan tempat pejabat JKKK dan selebihnya boleh disewakan kepada penyewa yang lain. Jikalah dianggarkan secara kasar nilai komputer riba termasuk lain-lain kos (RM800 X 4,500 = RM3.6 juta), jikalah nilainya begitu, iaitu RM3.6 juta. Mungkin 3 lot bangunan dapat diperolehi dengan menggunakan wang tersebut.

 Namun, ia sudah diperuntukan kepada badan-badan tersebut bagi program celik IT dan memudahkan JKKK untuk mendapat maklumat yang tepat dan cepat untuk disampaikan kepada penduduk sekitarnya yang terdapat dibawah naungan JKKK terbabit.

 Bila komputer yang diagihkan sudah berada di tangan JKKK, adakah komputer tersebut digunakan untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai JKKK? Mungkin ia juga akan menjadi persoalan kepada badan-badan tersebut kerana setiap seorang daripada JKKK telah memiliki komputer dan adakah setiap daripada JKKK tersebut menggunakan benda tersebut dengan sewajarnya?

 Timbul juga persoalan di kalangan kita, perlukah setiap seorang daripada JKKK memiliki computer riba atau hanya sekadar satu computer riba untuk satu JKKK? Keperluan untuk computer riba di kalangan JKKK tidak begitu mendesak sangat jika dilihat. Mungkin ia lebih untuk memesrakan dikalangan JKKK dengan alatan IT tersebut agar lebih canggih dan nampak moden dikalangan mereka.

 Bagi aku, kemudahan yang diagihkan oleh pihak kerajaan perlu untuk digunakan semaksimum yang mungkin agar tiada unsur pembaziran yang berlaku kerana wang yang digunakan datang dari dana rakyat.