Tags

SEDANG aku melihat dan membelek-belek dokumen-dokumen lama, terpandang satu kertas yang bertulis dengan pen biru yang bertarikh 21 Rejab 1423 Hijrah. Jika dikira, dah hampir 10 tahun kertas ini tak disentuh oleh aku.

Di kertas tersebut aku ada salinkan perkara yang penting adab untuk mendidik  anak-anak. Mungkin ia sesuai untuk kita mendidik dan membina akhlak anak kita nanti. Tapi, tuan/puan bacalah dulu, jika ia bersesuaian ambil sebagai amalan untuk mendidik anak-anak kita.

Perkara pertama yang aku catatkan di kertas tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Janganlah bermain dengan kanak-kanak dengan cara yang boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa atau anggota badannya, misalnya janganlah bermain-main dengan melambung kanak-kanak ke udara, jangan bermain-main (mengacah-ngacahnya) secara memegang tangannya dan menghayunnya melalui tingkap dan sebagainya;

Kedua : Jangan mengacah-ngacahnya secara mengejar, mungkin dia akan tergelincir dan mencederakan dirinya;

Ketiga : Jangan bercakap perkara yang memalukan di depan kanak-kanak;

Keempat : Mendidik anak-anak secara amnya mendatangkan pahala yang besar, namun memelihara dan mendidik anak-anak perempuan adalah amalan yang terlebih besar dan memperolehi pahala yang lebih banyak;

Kelima : Jangan mendidik anak-anak dengan begitu tegas atau begitu sambil lewa;

Keenam Ajarilah anak-anak supaya jangan memakan makanan yang diberi oleh orang lain. Mereka hendaklah membawa makanan tersebut balik ke rumah dan makan bersama-sama ibu bapa mereka jika dibenarkan memakannya;

Ketujuh : Ajarilah mereka supaya membasuh tangan sebelum makan dan minum menggunakan tangan kanan;

Kelapan : Semaikanlah ke dalam diri mereka kebiasaan makan sedikit supaya mereka dapat terselamat daripada penyakit dan tamak haloba;

Kesembilan : Semaikanlah kebiasaan kepada anak-anak supaya membersihkan gigi mereka, khasnya dengan menggunakan miswak;

Kesepuluh : Ajarilah mereka supaya jangan meminta apa-apa sahaja keperluan mereka selain daripada orang-orang yang terlebih tua daripada mereka (Ibu bapa, datuk dan sebagainya);

Kesebelas : Ajarilah mereka supaya jangan menerima apa-apa hadiah daripada seseorang tanpa mendapat keizinan daripada orang-orang yang terlebih tua daripada mereka (Ibu bapa dan sebagainya);

Keduabelas : Janganlah mengandaikan bahawa mereka secara sendirinya akan memperolehi adab-adab dan tatacara apabila mereka sudah besar. Semaikanlah ke dalam diri mereka sifat-sifat yang baik tatkala umur mereka masih boleh dilentur. Tidak seorangpun belajar dengan sendirinya. Dengan membaca mereka akan dapat menambahkan ilmu mengenai budaya yang baik, namun mereka telah ternafi daripada pendidikan awal semasa zaman kanak-kanak. Kurang didikan akan mengakibatkan kanak-kanak yang sedang membesar bertindak biadap. Lebih lanjut lagi tanpa berfikir, mereka akan mengakibatkan kesusahan dan kesulitan kepada orang lain;

Ketigabelas : Ajarilah anak-anak supaya melakukan sesuatu dengan rasa malu khasnya apabila “menyahut seruan alam”. Jangan biarkan mereka mendedahkan diri mereka kepada orang lain;

Keempatbelas : Apabila anak anda telah menyalahkan orang lain, ataupun telah bersalah janganlah menyebelahi sepihak sahaja. Jangan menyebelahi anak anda, lebih-lebih lagi semasa kehadiran mereka. Apabila anda melakukan secara begini, sebenarnya anda memusnahkan akhlak mereka;

Kelimabelas : Berjaga-jaga terhadap tingkah laku anak-anak anda terhadap orang suruhan (pembantu) dan anak-anak kepada orang suruhan anda. Pastikan mereka tidak menganggu orang-orang suruhan atau anak-anak mereka. Disebabkan taraf sosial mereka yang rendah, mereka tidak mengadu tetapi mereka akan mengutuk di dalam hati walaupun mereka tidak mengutuk tetapi malapetaka dosa dan ketidakadilan akan dirasai;

Keenambelas : Seboleh-bolehnya berusaha supaya mereka belajar dibawah asuhan guru-guru yang sesuai dan berkelayakan;

Ketujuhbelas : Jangan dera mereka ketika anda di dalam keadaan marah. Samada jauhkan mereka dari pandangan anda tatkala anda marah ataupun anda sendiri pergi dari situ. Kemudian setelah kemarahan menurun, beri amaran 3 kali kemudian baharulah kenakan denda yang sesuai;

Kelapanbelas : Apabila timbul keperluan untuk memukul, janganlah gunakan kayu yang berat ataupun penumbuk. Jangan tendang dengan kaki dan tampar di muka. Juga jangan ketuk di kepalanya;

Kesembilanbelas : Ajarilah anak-anak dengan nama ibu bapa mereka, datuk-datuk mereka berserta dengan alamat mereka. Sekali sekala tanya mereka tentangnya supaya mereka ingat. Manfaatnya ialah, semoga dijauhkan Allah ditakdirkan mereka sesat, mereka boleh memberi tahu pengenalan diri mereka kepada orang yang menemui mereka. Dengan ini mereka dapat kembali ke rumah mereka.;

Keduapuluh : Anak-anak yang sedang belajar hendaklah diberikan makanan berzat yang baik untuk otak;

Keduapuluh satu : Jika anak-anak perempuan ingin keluar daripada kawasan rumahnya, janganlah dihiasi mereka dengan perhiasan;

Keduapuluh dua : Tekankan kepada anak-anak perempuan agar mereka jangan bermain dengan budak-budak lelaki. Sifat dan akhlak kedua-dua mereka akan rosak dengan pergaulan begini;

Keduapuluh tiga : Jikalau seorang budak lelaki daripada rumah yang lain datang ke rumah anda, beritahulah anak-anak perempuan supaya tidak menampakkan diri mereka walaupun budak tersebut masih kecil;

Keduapuluh empat : Jikalau mana-mana kanak-kanak datang untuk belajar kepada anda, janganlah gunakan perkhidmatan daripada mereka. Layanilah mereka seperti anak-anak anda sendiri;

Keduapuluh lima : Ajarilah anak-anak supaya jangan menghadap kiblat ketika di dalam tandas ataupun membelakangi kiblat. Ajarilah mereka dengan adab-adab bersuci (taharah) diri mereka di dalam tandas;

Keduapuluh enam : Jangan bawa bersama-sama anak-anak ke majlis jemputan. Ramai yang mengamalkan beini. Ini boleh merosakkan kebiasaan mereka; dan

Keduapuluh tujuh : Jika anak-anak berdegil untuk mendapat sesuatu, jangan penuhkan kehendak mereka.

Semoga Allah memberi taufik untuk kita amal dan sampaikan. Insya-Allah.