Tags

JUMAAT kedua dalam bulan Januari tahun 2012 tadi, Masjid Besar Bahagian Limbang telah dibuka untuk bersolat Jumaat. Aku berkesempatan untuk bersolat Jumaat untuk kali pertama bagi Masjid Besar Limbang dan masjid itu baru dibuka tahun ini juga walaupun telah lama dirasmikan.

Lalu lintas agak tidak sesak sikit kerana difahamkan, Masjid yang lama di pekan Limbang masih digunakan untuk bersolat Jumaat juga dan akan terus dibuka untuk kegunaan masyarakat di sekeliling masjid tersebut terutamanya penjual-penjual dan mereka-mereka yang berhampiran dengan masjid lama tersebut.

Kalau nak dibandingkan, masjid lama masih ramai jemaah yang hadir kerana mudah dan hampir kepada masyarakat sekeliling. Masjid baru pun alhamdulillah juga, sudah terdapat di kalangan para jemaah hadir untuk solat 5 waktu di situ. Pembinaan masjid baru perlu juga bagi aku, kerana kesesakan para jemaah yang semakin bertambah di masjid lama boleh dikurangkan dengan adanya masjid baru dan memberi dimensi baru kepada masyarakat Islam di Limbang, terutamanya dalam pengembangan Islam.

Semasa aku solat di masjid baru minggu lepas, kehadiran jemaah juga ramai iaitu dalam lingkungan 350-400 orang. Mereka yang hadir dari kawasan Kampung Buang Siol, Kampung Pabahanan, Desa Pabahanan, Kampung Patiambun, Kuaters Persekutuan dan sekitar kawasan bandar baru Limbang. Kehadiran yang agak baik.

Aku kira hanya 8 saf sahaja yang dipenuhi berserta dengan kanak-kanak dan selebihnya belum lagi dipenuhi. Aku fikir mungkin Jumaat minggu ini ramai yang akan hadir untuk solat Jumaat di masjid baru kelak.

Yang penting bagi aku, bagaimana masyarakat Islam yang ada di Limbang ini dapat memenuhi ruang yang ada di setiap sudut masjid di Limbang, samada di surau atau mana-mana masjid atau surau di muka bumi ini. Sebab, solat adalah penting kepada umat Islam seperti mana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ” Dari Umar r. ‘anhu meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : Sembahyang ialah tiang agama.(HR Abu Nuaim)”