Tags

SUDAH beberapa minggu tahun baru hijrah telah kita tinggalkan, adakah ada keazaman yang telah diperbaharui atau azam tahun lepas telah digapai dengan jayanya? Orang tua, orang muda, orang duda atau janda dan orang remaja adakah sudah memperbaharui azam baru atau menambahbaikkan lagi keazaman yang telah digapai?

Biasanya kita dengar, pada akhir tahun akan dibaca doa akhir tahun dan selepas maghribnya akan dibaca doa awal tahun oleh tuan Imam agar kehidupan kita di dunia dan akhirat diberi kebaikan. Tetapi adakah kita menilai semula apa yang telah diazamkan itu tercapai ataupun kita tidak langsung kisah tentang apa yang telah kita azamkan ataupun juga kita tak berazam langsung untuk tahun hijrah?

Biasanya jarang untuk kita menyimpan azam dalam tahun hijrah, lebih-lebih lagi dalam bab peningkatan dalam agama. Bagi kita agama tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian kita. Agama hanyalah upacara ritual atau adat sahaja, bila perlu, kita akan buat dan jika tidak perlu, kita tak akan membuatnya. Begitulah situasi agama bagi kita semua.

Agama bagi kita satu perkara yang lain, yang tidak ada kaitan dengan kehidupan seharian kita seperti pekerjaan kita, keluarga kita, masyarakat kita, politik kita, ekonomi kita, sosial kita dan apa-apa yang berkaitan dengan dunia kita. Dunia adalah dunia dan agama adalah agama kerana bagi kita kalau nak menjalani kehidupan dunia kita perlu ada duit, pangkat, kuasa dan harta barulah dunia akan bergerak. Dan agama hanya dapat dihidupkan dan digerakkan dengan amalan sahaja seperti solat, puasa, haji, zakat dan apa-apa yang ada kaitan dengan upacara agama.

Mungkin itulah agama bagi kita dan dunia itu amat berbeza dengan agama. Mungkin juga ada dikalangan kita beranggapan agama hanyalah perkataan dan upacara sahaja yang tidak memberi apa-apa manafaat untuk dunia dan mungkin hanya menyusahkan sahaja(nauzubillah…).

Dan marilah kita fikirkan, bagaimana agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. memberi manafaat untuk kita, dari pelbagai sudut kehidupan di dunia ini dan akhirat khasnya. Ia kena bermula dengan tanggapan kita terhadap agama, samada ia sebagai adat atau cara untuk kita membangunkan dunia dan akhirat kita.