Tags

HARI Isnin tadi aku pergi ke Kampung Seberang Kedai untuk berjumpa dengan ketua kampung di situ. Tapi nasib aku tak berapa baik sebab, ketua kampung telah pergi ke laut untuk menangkap ikan. Aku cuma dapat berjalan di sekitar kampung itu sahaja dan meninjau tempat membuat perahu. Suasana di kampung Seberang Kedai agak tidak terurus dan jalan-jalan kayu yang dibina banyak yang dah buruk dan rosak, begitu merbahaya bagi pejalan-pejalan kaki.

Sampah-sampah kelihatan terdampar di bawah rumah penduduk dan apabila air sungai surut makin menampakkan sisa-sisa sampah yang dibuang di sungai. Masa aku di Sibu dulupun begini keadaannya, kebanyakkan penghuni rumah yang tinggal di tepi sungai, sungailah tempat pembuangan sampah.

Kelihatan anak-anak muda yang telah lepas sekolah masih lagi tinggal di situ dan kebanyakan mereka menganggur dan membuat kerja sendiri. Ada di antara mereka yang “menambang” perahu. Masa aku menyeberang menggunakan perahu tadi, tambang yang dikenakan hanyalah  50 sen sahaja. Perahu penambang yang diusahakan oleh penduduk kampung mula beroperasi di awal pagi lagi iaitu dalam jam 6.30 pagi, ini kerana untuk menghantar budak-budak sekolah dan pekerja-pekerja.

Masa aku menaiki bot “penambang” tadi, sempat juga aku bertanya harga sebuah perahu yang sedang-sedang besar. Penambang itu memberitahu perahu yang dipakainya sekarang ini bernilai RM3,000 lebih. Mahal juga, cetus hati kecilku. Kalau perahu yang dibuat dari faber glass mahal lagi katanya.

Sebenarnya aku tengah mengkaji tentang penggunaan perahu-perahu berserta dengan harganya sekali bagi tujuan perniagaan atau perniagaan yang berorentasikan perkhidmatan. Perkhidmatan yang diusahakan lebih untuk penggunaan orang luar yang akan datang bagi melihat suasana sungai, hutan-hutan, pemandangan waktu petang yang begitu indah melalui pelayaran yang dibuat nanti dan pemandangan kampung-kampung air yang terdapat di Limbang ini dan mungkin juga untuk kaki pancing dengan perkhidmtan sewa bot.

Aku perlukan kertas kerja untuk menilai keadaan projek ini agar memberi manafaat kepada semua terutamanya aktiviti pelancongan yang akan diwujudkan di Limbang.

Mungkin aku perlu untuk berjumpa dengan ketua kampung Seberang Kedai nanti bagi menjelaskan maksud kedatangan aku dan terangkan aktiviti yang aku nak buat ini. Mungkin mereka yang berada atau hidup di kawasan sungai mungkin ‘akrab” dengan suasana sungai dan aku perlu maklumat dan data-data berserta dengan pengalaman mereka “berkawan” dengan sungai-sungai dan menterjemahkan cerita tentang kehidupan sungai untuk dijadikan sumber komersial yang lebih manafaat tanpa merosak kehidupan sungai sekarang.