Tags

DAHULU, masa aku mula-mula datang ke Limbang, bangunan Pasar Tamu tempat yang begitu meriah dan sibuk dikunjungi oleh orang ramai terutamanya pada hari Khamis dan Jumaat. Begitu sibuk sekali. Orang luar dari Limbangpun datang juga terutamanya dari negara Brunei Darulsalam. Ketika itu, kedai-kedai yang ada di bangunan Pasar Tamu penuh dengan penjaja, aku rasa memang tiada kedai yang kosong, semua gerai-gerai di sebelah atas bangunan Pasar Tamu disewakan kepada peniaga.

Kalau hari biasapun, ia akan dikunjungi oleh penjawat awam dan orang ramai yang datang untuk menikmati juadah makanan yang dijual oleh gerai-gerai makan di bangunan Pasar Tamu pada sebelah pagi, tengahari dan sebelah petang.

Sekarang bangunan Pasar Tamu yang aku lihat semakin sunyi dan lenggang, cuma gerai-gerai basah yang dibawah sahaja yang masih dapat bertahan dengan kunjungan orang ramai Itupun gerai-gerai jualan barang kering semakin banyak yang sudah ditutup.

Kalau dahulu, itulah mercu tanda bagi Limbang, kerana di situlah pusat untuk mendapatkan barang-barang yang diperlukan serta tempat menjamu selera dan kunjungan bagi orang Limbang dan orang luar yang datang ke Limbang..

Kelenggangan serta kesunyian yang dihadapi oleh bangunan Pasar Tamu berkemungkinan restoran-restoran makanan yang semakin banyak dibuka dan faktor pemindahan tamu Limbang ke tempat lain juga penyebabnya. Hanya beberapa gerai sahaja yang masih bertahan dan gerai yang lain kosong tanpa penjaja. Pihak yang berkuasa terutamanya Majlis Daerah Limbang perlu membuat kajian balik atas apa yang berlaku dan cara untuk mengatasi masalah tersebut.

Jika nak dilihat penyebabnya, mungkin faktor persaingan dengan restoran yang ada, terdirinya Limbang Plaza juga penyebab ia berlaku, pemindahan pasar tamu juga faktor berkait kepada masalah ini, mungkin juga penjaja-penjaja yang dah berusia atau yang dah meninggal dunia dan warisnya tak berminat untuk menyambung urusan bisnes tersebut menyebabkan ia berlaku juga. Tempat parkir yang kurang juga menyebabkan ramai orang malas nak singgah di bangunan Pasar Tamu yang kebanyakan dimonopoli oleh kenderaan penjaja-penjaja.

Mungkin permasalahan-permasalahan yang ada boleh diselesaikan jika ada keinginan untuk menghidupkan balik Pasar Tamu Limbang ini, itupun Pasar Tamu Limbang yang moden dan pelbagai aktiviti jualan. Dan perlu perancangan yang teratur dan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berkaitan bagaimana perubahan yang berkualiti dapat direalisasikan untuk kebaikan semua dan juga orang-orang luar yang datang bertandang ke Limbang.

Bangunan Pasar Tamu yang ada perlu perubahan secara drastik dan gerai-gerai yang sediada di bangunan tersebut perlu diubah aktivitinya seperti gerai pakaian, gerai cenderahati, produk tempatan dan dikekalkan gerai makan di situ. Mungkin disitulah tarikan akan datang nanti. Biasanya, orang luar yang datang ke Limbang akan bertanya, mana tempat yang menarik di sini, secara langsung Pasar Tamulah destinasinya sebab di situlah terjual pelbagai produk tempatan boleh didapati dan diperolehi dengan mudah. Yang ada sekarang di Pasar Tamu memang ada, tetapi tak tersusun dan perancangan yang tidak teratur. Sebab, orang luar tak tahu di situ ada dijual apa? Produk tempatan, kuih tempatan dan pelbagai lagi tidak diketahui oleh orang yang datang ke Limbang.

Seperti aku, kalau nak ke bangunan Pasar Tamu mungkin aku nak beli ikan, sayur dan bahan keperluan dapur sahaja dan yang datang ke situpun mungkin untuk menaiki perahu tambang untuk ke seberang. Jadi, seolah-olah Pasar Tamu di  Limbang bagaikan tiada berfungsi untuk mengenengahkan produk-produk Limbang yang ada serta memberi peluang perniagaan kepada penduduk bumipuetra khususnya.

Jadi, apabila ada perancangan yang teratur untuk gerai-gerai di bangunan Pasar Tamu dari segi aktiviti, pengendalian serta jualan, Insyaallah aktiviti di situ akan berkembang balik jika ada kerjasama yang betul antara pihak berkuasa dan penjaja-penjaja. Pengurusan parkir perlu disusun balik dan pembahagian gerai-gerai mengikut aktiviti perlu dibuat agar tidak berlaku aktiviti yang sama yang boleh mebosankan pembeli-pembeli yang datang bertandang ke situ. Sekurang-kurangnya ada juga tempat yang menjadi tumpuan dan tempat persinggahan para pelancong ataupun orang luar untuk datang ke Limbang.