Tags

HARI ini tadi anak aku yang sulung akan menduduki peperiksaan UPSR. Dua lagi anak aku tak bersekolah kerana diberi pelepasan bercuti bagi murid-murid tahun enam menduduki UPSR. Dalam seminggu ini tadi, pihak sekolah begitu sibuk dengan persiapan sebelum UPSR, dan kebanyakan program yang diadakan solat hajat bagi murid-murid yang akan menduduki UPSR ini. Hari Jumaat tadi, sekolah anak aku mengadakan solat hajat di Masjid Besar Limbang, aku tak dapat menghadiri program tersebut kerana ada urusan di Lawas.

Aku hanya berpesan dengan anak agar sentiasa berdoa dan setiap hari kena solat hajat kerana kita wajib meminta dengan Allah. Semakin kita meminta semakin Allah suka sebab Allah lah tempat kita meminta dan memohon bantuan. Syukur, sebelum solat subuh tadi anak aku solat hajat dan sebelum bertolak ke sekolah sempat membaca surah Yassin agar dipermudahkan dalam menghadapi UPSR.

Anak aku bernama Ameer Hariz, dan sebelum UPSR ini kebanyakan masanya tertumpu dengan gamesnya samada yang dimuaturun dan yang sediada di komputer ribanya itu. Selalu juga aku dan isteri nasihatkan agar kurangkan masa dengan komputer ribanya itu tapi katanya jika tak main games susah untukya belajar. Pelik juga. Tapi setakat ini, aku tengok prestasi Ameer agak memuaskan dan dia yakin boleh untuk memperolehi 5A bagi setiap matapelajaran.

Pagi tadi aku lihat Ameer rileks sahaja, cuma dia minta aku doakan kejayaanya agar boleh untuk mencapai 5A, semoga berjaya anakku.