Tags

SUASANA hari raya di Limbang pada tahun ini agak sederhana aku rasakan. Tiada apa-apa yang mengujakan aku dan seperti biasa aku dan keluarga akan berkumpul di rumah mertua bersama dengan iparduai. Dan seperti biasa juga, jalan-jalan di kampung-kampung penuh sesak dengan kenderaan dan kedai-kedai akan ditutup pada raya yang pertama dan kedua dan kedai dibuka balik pada raya yang ketiga. Hari raya yang keempat pejabat-pejabat kerajaan dibuka semula, cuma persekitaran bandar Limbang masih sunyi dari aktiviti-aktiviti yang lazimnya. Hanya sibuk dengan kenderaan-kenderaan yang berziarah ke rumah saudara dan rakan handai di sekitar Limbang.

Ada juga teman-teman yang membuat rumah terbuka dan ada juga yang buat rumah tertutup. Bagi aku samada rumah terbuka atau setengah terbuka yang penting amalan ziarah perlu diteruskan. Pada zaman aku dahulu, amalan ziarah merupakan sesuatu yang begitu teruja sekali, terutamanya bagi kanak-kanak. Aku dan kawan-kawan beraya tak mengira rumah, samada rumah kawan ke atau bukan rumah kawan tapi beraya juga ke rumah tersebut. Suasananya begitu meriah dan penuh dengan kasih sayang serta wujud kekitaan pada waktu itu.

Dan waktu sekarang amat jauh berbeza, rumah yang diziarahi hanyalah rumah yang kita kenal sahaja, yang tak kenal kita tak ziarahi. Begitu terasing suasana hari raya sekarang ini. Anak-anak muda mungkin sibuk di depan tv ataupun hanya terperap di dalam rumah sahaja sebab tak tahu nak pergi ke mana.

Kalau nak berziarahpun atas desak ibubapa untuk menziarahi sauadara-saudara terdekat. Kalau nak berziarahpun hanya pergi ke rumah teman wanita ataupun teman lelaki dan teman sepersekolahan sahaja. Begitu unik berhari raya pada zaman ini. Jika gejala sebegini terus berlaku, pasti suatu hari kelak anak-anak kita tak lagi mengenali saudara-saudara yang terdekat. Yang mereka kenal hanyalah teman-teman sepersekolahannya sahaja.

Sebenarnya amalan ziarah ini tak semestinya dibuat pada waktu perayaan sahaja, hari-hari biasapun kita boleh menziarah teman-teman sesama Islam untuk tujuan persaudaraan dan ingat-mengingati sesama Islam. Jadi, dalam keadaan iman kita yang semakin susut dan lemah, inilah masanya untuk kita mendekati mereka-mereka yang jauh dari kita, bertanya khabar berita hanya semata-mata untuk silaturahim dan niat yang betul kerana Allah swt tanpa apa-apa pembalasan dan keuntungan duniawi.

Jika pilihanraya semakin hampir, aku terasa benar suasana kampung serta bandar dan orang yang tak dipedulikan akan diziarahi kembali tapi adakah kerana niat itu semata-mata kerana Allah!