Tags

SEPASANG suami isteri menghadiri sebuah karnival di mana seorang juruterbang menawarkan pengalaman menaiki kapal terbangnya dengan bayaran RM50 seorang. Pasangan tadi mahu menaiki kapal terbang itu tetapi merasakan bayaran yang diminta itu terlalu tinggi. Mereka cuba tawar-menawar dengan juruterbang itu supaya membawa mereka berdua pada harga RM50, tetapi juruterbang itu tetap berkeras mahukan bayaran yang ditawarkan itu juga.

Akhirnya juruterbang menawarkan, “Kamu bayar saya RM100 dahulu dan saya akan bawa kamu naik. Sekiranya kamu tidak membuat bising walau sedikit pun ketika penerbangan, saya akan memulangkan wang kamu.”

Pasangan itu bersetuju dan menaiki kapal terbang. Juruterbang itu membawa mereka terbang dan ketika berada di udara beliau terus melakukan setiap lagak ngeri yang beliau tahu iaitu berpusing, menjunam, terbang terbalik dan sebagainya. Apabila mereka mendarat, si pilot berkata kepada suami, “Tahniah! Ini wang RM100 kamu. Kamu tidak membuat bising walaupun sedikit.”

“Betul,” jawab si suami, “tetapi tadi saya hampir-hampir berkata sesuatu apabila isteri saya terjatuh daripada kapal terbang.”

Kisah ini memang mengarut, tetapi ia menunjukkan kebenaran mengenai budaya kita. Kita sering kali terlalu mementingkan wang dan harta benda berbanding perkara yang betul-betul penting dalam kehidupan  : iaitu orang tersayang.

(Petikan daripada Buku Make Today Count oleh John C. Maxwell, Edisi Bahasa Melayu)