Tags

KALAU di semenanjung sibuk dengan Himpuanan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih. Himpunan yang dibuat itu merupakan tuntutan pihak Bersih kepada SPR agar pilihanraya yang diadakan lebih telus dan bersih daripada apa-apa gejala yang tidak baik serta campurtangan pihak-pihak tertentu.

Tuntutan itu lebih ke arah memberi kesempurnaan kepada pilihanraya yang akan diadakan dalam negara kita ini. Berikut merupakan tuntutan-tuntutan yang diketengahkan oleh pihak Bersih :
1. Bersihkan Senarai Undi;
2. Mereformasikan Undi Pos;
3. Gunakan Dakwat Kekal;
4. Akses Media Bebas Dan Adil;
5. Masa Berkempen Minima 21 Hari;
6. Kukuhkan Institusi Awam;
7. Hentikan Rasuah; dan
8. Hentikan Politik Kotor.

Jika kita lihat dan dengar di media massa serta internet sekarang ini, banyak pihak yang terlibat dan tak terlibat memberi pelbagai komentar-komentar tentang perkara ini sehinggakan pelbagai tuduhan dan saranan yang kita dengar tentang baik dan buruknya perhimpunan ini. Ada juga individu-individu yang terlibat secara langsung dan tak langsung telah disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Cuma kita di Sarawak begitu jauh untuk menilai keadaan perhimpunan yang akan diadakan di KL nanti, lebih-lebih lagi di Limbang sebuah pekan kecil, mungkin perkara sebegitu tidak memberi faedah untuk diketahui dan difikirkan tentang kesudahannya kelak. Mungkin tak perlu untuk berhimpun semata-mata untuk memberitahu tentang “ketidaksucian” pilihanraya yang diadakan sekian lamanya. Lagipun, perkara sebegitu jarang berlaku di Sarawak dan lebih-lebih lagi di Limbang.

Kalau nakpun untuk menandakan ketidakpuasan hati, mungkin boleh juga hantar surat kepada pak menteri dan pihak-pihak terlibat, namun jarang juga perkara ini boleh diselesaikan kerana bergantung kepada “keadaan”. Mungkin juga perlu dibuat perhimpunan sebegini untuk menunjukkan penekanan ke atas sesuatu perkara yang dah terlampau parah dan pudar.

Tapi, aku lihat iklim politik yang melanda sebelah semenanjung ini lambat laun akan beralih juga ke tanah borneo. Dengan pelbagai cerita duka dan lara dari rakyat yang ada, mungkin akan merebak dengan cepatnya kesedaran-kesedaran atas pemikiran serta tanggapan yang terjadi atas pentas negara kita ini.

Cuma kita hanya menunggu kesedaran-kesedaran yang positif untuk membangunkan nilai-nilai yang murni bagi mewujudkan suatu pemerintahan yang sentiasa bertanggungjawab dan mesra rakyat.