Tags

HAMPIR tiga tahun menghuni tanah malaya, aku terasa benar begitu banyak perbezaan antara Sarawak dan tanah malaya. Terutamanya dari segi pembangunan yang begitu pesat untuk keperluan rakyat dan umum, pendidikan juga, dan banyak lagi yang jauh meninggalkan kedudukan Sarawak. Mungkin kita akan mengatakan semenanjung tak pe, sebab pusat pemerintahan jadi semua kena mula kat sana, Sarawak ni negeri saje.

Tak payahlah kita nak membandingkan dari sudut yang aku perkatakan di atas, cuma kita bandingkanlah jalan raya yang ada di Sarawak dan semenanjung begitu jauh berbeza(dan juga kita mungkin akan bagi alasan bahawa Sarawak ni negerinya luas dan berbukit dan bersungai).

Hampir keseluruhan jalan raya yang ada di sana begitu baik sekali dibandingkan kita di Sarawak ini. Jika kita hendak bergerak dari bahagian ke bahagian dalam Sarawak melalui jalan darat pasti kita akan merasai perbezaan yang ketara, dari Lawas hingga ke Sematan pasti ada bezanya. Sesiapa yang pernah ikut jalan darat terasa betul kekurangan yang ada seperti jalan berlubang, berlopak, tak bertar, bergelombang, pecah, berbahaya dan kualiti jalan yang begitu tak berkualiti.

Di Sarawak, pengangkutan darat begitu penting untuk kemudahan kebanyakan rakyat, dari sudut ekonomi dan kemudahan sosial yang lain. Kemampuan untuk menggunakan pengangkutan udara agak terbatas jika pendapatan yang ada cukup-cukup untuk makan sahaja tapi kebanyakan rakyat Sarawak bukannnya kaya semua.

Jadi perlulah untuk mereka-mereka yang dipertanggungjawabkan memperkemaskan kerja-kerja yang sepatutnya diperkemaskan dengan standart kualiti yang sebenar. Bukan setakat bab jalan raya sahaja, banyak lagi sudut-sudut pembangunan yang bersangkutan dengan rakyat dan kepentingan umum perlu diperbaiki, dinaiktarafkan dan dibuat agar kesamarataan dari segi pembangunan dapat dikecapi oleh rakyat Sarawak seperti rakyat di semananjung.

Kesemua yang diperkatakan disini untuk mempermudahkan kehendak rakyat yang wajib ditunaikan atas balasan setiap undi yang dibuat. Jadi, wajib bagi penduduk Sarawak mengecapi apa yang terdapat di semenanjung agar kesamarataan yang ada dapat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia secara menyeluruhnya.

Mungkin kita yang berada di Sarawak tak terasa akan kekurangan yang ada, jika kita keluar dari kepompong kehidupan kita di situ, kita akan terasa kekurangan yang ada. Sememangnya ada pembangunan yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk rakyat tetapi amat tidak mencapai kapasiti negeri Sarawak yang dianggap sebagai pengeluar hasil minyak, gas asli serta hasil hutan yang terbesar antara negeri-negeri di Malaysia.

Kemungkinan sumber-sumber yang ada berkeupayaan untuk menjana pembangunan yang pesat di negeri Sarawak sama halnya pembangunan yang pesat di tanah semenanjung. Jadi, mengapakah kelewatan dan keterbelakangan yang dihadapi oleh Sarawak harus terjadi dari pelbagai sudut?

Yang kita pasti, kebanyakkan pemimipin-pemimpin di Sarawak berkaliber dan mempunyai kelayakan untuk memimpin berdasarkan kepada sokongan dan undi yang diberikan oleh rakyat Sarawak selama ini…