Tags

NAK bangunkan tempat pelancongan adakah memerlukan dana yang besar dan tinggi? Aku nak contohkan seperti di Mulu, kebanyakan yang ada di Mulu hanyalah berkonsepkan alam sekitar dan penduduk tempatan yang berperanan dalam berkerjasama menaikkan nilai pelancongan yang ada di situ.

Di sepanjang perjalanan melalui perahu yang disediakan oleh pihak pengurusan hotel di situ, pelawat di didedahkan dengan alam yang hijau dengan setiap kampung dijadikan tempat persinggahan bagi pelawat. Di situ setiap kampung menonjolkan barangan dan makanan tradisional mereka untuk diperlihatkan dan dijadikan sumber ekonomi bagi mereka.

Selain dari menonjolkan produk-produk yang ada, penduduk tempatan juga memperlihatkan budaya dan kehidupan mereka yang masih kekal walaupun pembangunan telah masuk ke tempat mereka. Mereka nak tunjukkan bahawa walaupun apa yang datang di tempat mereka, tradisi tetap dikekalkan untuk warisan anak-cucu mereka nanti, namun jika diperhatikan sumber dari situ dapat menjanakan ekonomi sekaligus mengekalkan tradisi dan budaya bagi sesuatu kaum di situ.

Seterusnya pelawat disajikan dengan keindahan alam yang masih belum ternoda dan terusik dengan pembangunan seperti sungai-sungai, tumbuhan, gua-gua dan fauna dan floranya yang masih dikekalkan. Sebenarnya, alam sekitar yang ada juga boleh mengekalkan kekuatan dalaman kepada sesiapa yang sering “berkawan” dengan alam sekitar iaitu kesihatan terpelihara dengan cara yang lebih murah dan tak langsung.

Aku nak buka ruang ini untuk memberi idea kepada teman aku, bagaimana Limbang boleh dijadikan sebagai tempat pelancongan. Mungkin banyak tempat-tempat yang belum diterokai seperti di Ulu Medamit, perkampungan Melayu di tebingan sungai Limbang, perkampungan nelayan, perkampungan orang Kedayan, perkampungan orang Bisaya dan banyak lagi perkaitan antara proses untuk menonjolkan Limbang sebagai pusat untuk perlancongan.

Persembahan tradisional dari kaum-kaum yang ada di Limbang boleh “dibiakkan” agar dapat untuk dijadikan sebagai persembahan yang menarik untuk pelancong yang datang. Semasa aku di Limbang dulu, persembahan yang popular di Limbang seperti “bergambus” suatu persembahan yang diiringi dengan alatan muzik seperti gambus dan kini dimodenkan dengan diiringi dengan alatan muzik yang lebih moden lagi seperti drum dan gitar.

Tradisi yang ada pada kaum di Limbang perlu untuk ditonjolkan agar ia tidak tenggelam dan disisihkan kerana untuk menghargai budaya-budaya yang datang dari luar.

Jadi, bagaimana rupanya Limbang jika tiada pelancong yang datang ke Limbang? Cuma aku lebih suka Limbang ini diurus dengan sebaik-baiknya walaupun kita nak kembangkan Limbang dari sudut ekonomi namun urusan tentang sosial di Limbang juga perlu ditangani dengan sebaik-baiknya kerana kesosialan di Limbang semakin terganggu. Jadi, jika perkembangan pelancongan di Limbang semakin ketara, masalah sosial pun makin parah juga nanti. Apa yang ada di Limbang sudah terjadi dengan keparahan sosial anak-anak muda sekarang ini.