Tags

16 haribulan ini penentu kepada parti manakah yang akan memerintah kerajaan Sarawak. Jika dilihat dari dulu hingga sekarang, aku rasakan ada perubahan yang besar akan berlaku di Sarawak nanti. Kalau dulu, kita dah pasti parti pimpinan Taib Mahmud pasti akan menang tanpa mendapat tentangan yang hebat.

Tapi sekarang aku rasakan ada tentangan yang hebat jua daripada Pakatan Pembangkang dan parti-parti bebas yang lain. Perkembangan kesedaran masyarakat tentang persekitaran mereka tentang hak-hak, kebebasan dan strategi politik semakin melebar luasnya. Ia atas faktor kebebasan media massa terutamanya penggunaan  internet semakin meluas, yang boleh menerjah ruang pemikiran golongan-golongan tertentu samada yang lama ataupun yang baru.

Di Limbang, mempertaruhkan kerusi N68 Bukit Kota, penyandangnya Dr. Abdul Rahman B Ismail(BN) dengan dicabar oleh Leong Kwang Yew(DAP), Usop Jidin(BEBAS) dan Ladis Pandin(BEBAS). Kerusi N69 Batu Danau, penyandangnya Palu@Paulus Palu Gumbang(BN), Lau Liak Koi(PKR) dan Lawrence Cosmas Sunang Simpang(SNAP).

Di Lawas pula, mempertaruhkan kerusi N70 Ba’kelalan, BN mempertaruhkan muka baru Willie Liau dengan dicabar oleh Baru Bian(PKR) dan kerusi N71 Bukit Sari, penyandangnya Awang Tengah Ali Hassan(BN) dicabar oleh Japar Suyut(PKR).

Jika dilihat atas kertas, BN boleh memperolehi kemenangan mudah di kerusi N71 Bukit Sari tetapi bagi kerusi N68 Bukit Kota boleh memberi saingan yang sengit bagi BN terutamanya saingan dari DAP, jika sentimen dan isu-isu yang digunakan oleh parti pembangkang ini betul, kemungkinan kerusi N68 ini boleh jatuh ke tangan DAP dan juga faktor berpecahnya undi bagi kaum Kedayan dan Melayu boleh penyebab kepada kejatuhan BN di Limbang nanti serta pertandingan 4 penjuru antara parti tersebut. Begitu juga dengan kerusi N69 Batu Danau yang tersepit dengan isu yang sama dengan kerusi N68.

Bagi kerusi N70 Ba’kelalan masih sukar diramal, kerana Willie Liau merupakan muka baru dalam pilihanraya ini, namun faktor keperibadian wakil BN ini juga mempengaruhi kemenangan BN nanti. Beliau merupakan anak tempatan yang dikenali di Lawas. Mungkin tidak sukar bagi BN mengekalkan kerusi tersebut dengan perkembangan  drastik yang berlaku di Lawas semasa  kerajaan BN menerajui, dimana banyak perkembangan yang positif berlaku di Lawas.

Cuma, kesenadaan dan kesejiwaan yang digembar-gemburkan sebelum ini adakah memberi nada yang senada dan jiwa yang sejiwa antara pemimpin dan rakyat di sekitar kawsan tersebut. Kalau kita teropong dari sudut ekonomi, sosial dan politik adakah kesenadaan dan kesejiwaan telah berpadu?  Bah..malas aku enggau wang…kata orang Limbang…undi di tangan awda.