Tags

MINGGU ini tadi aku balik lagi ke Limbang, untuk mengiringi balik keluarga aku yang telah melancong di Malaya. Aku dan keluarga aku balik dengan membawa lebih dari 20 buah buku yang dibeli di tanah Malaya. Isteri aku dengan buku kesukaannya, anak lelaki aku dengan buku kegemarannya, anak-anak gadis aku dengan buku keanakannya. Jadi misi ke Malaya tahun ini lebih kepada membeli buku-buku.

Aku dan keluarga aku sampai di Limbang pada hari Sabtu (19hb Mac 2011) dengan menaiki Toyota Innova dari Miri ke Limbang dengan masa terpantas sampai ke Limbang pada jam 5.00 petang. Bila sampai di depan rumah, anak aku yang kecil sekali termuntah kerana tak tahan dengan kesejukan penghawa dingin dan bila masuk ke dalam rumah, anak aku yang kedua kecil termuntah juga.

Itulah perjalanan dari Miri ke Limbang, dengan kiraan masanya 4 jam lebih termasuk berhenti di setiap sempadan antara Miri/Brunei dan Brunei/Limbang.

Jadi pada malam itu, kami sekeluarga tidur awal sikit kerana kepenatan dalam perjalanan yang begitu mencabar dan “x stream” dengan perangai anak-anak.

>>>>>>>>><<<<<<<<

Masa aku di Limbang hanya 5 hari sahaja, tak ada apa yang hendak aku komen tentang Limbang ini. Cuma aku terbaca buku “Dahulu Terasing, Kini Terjalin” Bahagian Limbang yang dikeluarkan oleh Pejabat Residen Bahagian Limbang yang diketuai oleh Prof. Madya Datu Hj. Sanib Bin Hj. Said sebagai Ketua Pengarang.

Buku tersebut lebih mendekati kepada sejarah dan laporan tentang kedewasaan Limbang dalam meniti ia sebagai adik bongsu kepada bahagian-bahagian lain yag bersaing untuk merebut kemajuan dalam Sarawak. Dalam keadaan Limbang yang jauh di mata pentadbiran kerajaan negeri dan tersisih dari pelbagai perkembangan ekonomi, sosial dan politik dalam itu juga ada dikalangan penduduk-penduduknya bangkit bersama dengan abang-abangnya yang lain yang lebih gah dengan sumber dalaman yang kuat dan pemimpin yang perhatian dengan senario  dikawasan sendiri.

Kini, Limbang semakin tertonjol dengan kebongsuannya yang semakin matang dan berpandangan. Ia disebabkan kesedaran yang semakin terasa oleh bilangan pemimpin yang dulunya hanya memandang dari jauh Limbang, kini sudah semakin berani untuk mengangkat Limbang dari posisi yang sesuai.

Berbalik kepada buku tadi, kandungannya penuh diwarnai dengan gambar-gambar  lama dan baru dari dua daerah tersebut yang menunjukkan kemajuan yang diperolehi semakin tampak dan terasa oleh generasi sekarang.

Kekuatan buku ini bergantung dengan keceriaan pelbagai sudut gambar yang menarik dari pelbagai sudut zaman yang disorot oleh pengarang dan ke”gah”an dari pandangan udara yang begitu teruja apabila melihatnya.

Itulah  buku “Dahulu Terasing, Kini Terjalin” yang serba ringkas dapat aku lontarkan, namun mengapa mesti tajuk “Dahulu Terasing, Kini Terjalin” dipilih oleh pengarang?