Tags

MUNGKIN di tempat lain tak berapa akrab akan nama makanan seperti nasi katok. Masa aku di Limbang dulu ia tak berapa sangat di jual di Limbang dan hanya banyak di jual di Brunei. Mungkin ada juga yang di jual di Limbang tapi tak begitu popular sangat seperti di Brunei pada masa itu.

Sekarang nama nasi katok begitu popular di Limbang mungkin juga makanan tersebut sudah banyak di jual di sekitar bandar Limbang.

Nasi katok ni seperti nasi lemak juga tapi ada perbezaan dari segi rasa dan pengolahannya. Lauk biasa yang terdapat dalam nasi katok seperti ayam yang digoreng, sambal dan nasi.

Sejarah nasi katok ni dikatakan bermula di Brunei, cerita orang tua-tua kisahnya bermula apabila penjual nasi ini pergi rumah ke rumah untuk menjual nasi tersebut. Apabila sang penjual ni nak menjual dia akan mengetuk pintu rumah pelanggannya, bunyilah ketukan dari penjual tersebut. Jadi, muncullah nama nasi tersebut dengan nama nasi ketuk, jika ditukar dengan sebutan bahasa Brunei vokal ‘e’ ditukar ke vokal ‘a’ jadilah ia nasi katok hinggalah sekarang ni.

Sehingga kini nasi ini masih popular lagi dan di Limbang ia sudah digiatkan sebagai makanan yang disukai oleh penduduk di sini. Aku biasanya akan membelikan nasi katok ini di taman perumahan aku iaitu gerai yang bernama “Nasi Katok Desa”. Ia diusahakan oleh pasangan suami isteri dari Limbang dan Lawas dan dibuka biasanya pada waktu petang. Aku lihat ia sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk sekitarnya terutama di sekitar kawasan pahabanan.

Cuma sejak sekarang aku lihat tiada perubahan yang ketara ke atas nasi katok yang diusahakan oleh mereka. Lauknya tetap sama iaitu ayam  yang digoreng. Sedap memang sedap, tapi bagi aku pemilik gerai nasi katok ni perlu mempelbagaikan lauk-lauknya. Seperti lauk ikankah, udangkah, sotongkah, dagingkah, daging kambingkah jadi pelanggan-pelanggan boleh untuk membuat pilihan mengikut lauk kegemaran mereka.

Sememangnya tak disangkalkan bahawa nasi katok yang dijual di Taman Desa Pabahanan begitu sedap dan cukup menarik tapi perlu pelbagaikan lauknya agar lebih ummmph lagi.

Ada pernah juga aku mencadangkan agar gerainya dibesarkan lagi, memandangkan sambutan yang begitu menggalakkan dari pelanggan tapi aku lihat muka si suami hanya tersenyum sahaja tapi Insya-Allah katanya. Dibesarkan maksud aku membuka restoran yang hanya untuk nasi katok. Ia cuma satu penjenamaan atas produk tersebut agar lebih komersial lagi dengan adanya restoran yang betul-betul untuk mengangkat produk tempatan tersebut.

Ia boleh dicuba untuk dikembangkan seperti makanan segera seperti KFC, McDonald, Sugar Bun dan pelbagai lagi produk makanan antarabangsa dan tempatan yang sudah dapat meletakkan produk tersebut di persada pasaran makanan.

Mungkin suatu hari nanti ada dikalangan usahawan yang mempunyai wawasan yang tinggi nanti memperkenalkan produk nasi katok di pasaran dan ia tidak mustahil menjadi kesukaan ramai jika kena pada tempatnya dan berani mencuba akan sesuatu yang baru. Ia bukan sesuatu yang mustahil jika diusahakan  dengan sungguh-sungguh asalkan mahu sahaja hendak membuat.