Tags

Awal Januari 2011 ni tadi, aku balik sekejap ke Limbang (seminggu di Limbang) melawat keluarga, istimewanya anak aku yang kecil sekali Siti Humaira. Nak lihat perkembangan mereka semua, Ameer Hariz dah masuk darjah 6, Siti Zulaikha dah masuk darjah 3 dan Siti Humaira dah di darjah 2.

Sebenarnya mereka perlu perhatian yang lebih lagi di saat perkembangan mereka yang meningkat dan membesar. Sekarang mereka membesar tanpa bersama seorang ayah dan hanya berhubung melalui telefon bimbit sepanjang hari menanyakan khabar berita. Dan untuk isteriku, terima kasih pengorbanan yang diberikan atas mereka, sebenar aku tahu tanggungjawab yang dibebani oleh isteriku tapi bersabarlah, insyaAllah, semoga Allah akan permudahkan apa yang berlaku, mungkin di situ ada hikmahnya yang tak boleh untuk kita lihat secara mata kasar kita.

*********************************************

Dalam seminggu di Limbang, aku melihat pelbagai keadaan yang berlaku di Limbang sehinggalah aku balik lagi ke KL. Pertamanya, bila aku menghantar anak-anak aku ke sekolah, SK Limbang, jalan-jalan di sepanjang Kampung Nauran sesak dengan kenderaan yang menghantar anak-anak  ke sekolah kerana terdapat tiga sekolah sekitar jalan terbabit iaitu SMK Limbang, SK Limbang dan terbaru SK Chung Hua Limbang. Jadi, agak panjanglah  deretan kereta tersebut tapi dikawal oleh polis trafik.

************************************************

Keduanya; banjir yang berlaku di Limbang, terutamanya di hadapan bangunan Limbang Plaza. Banjir berlaku bila hujan turun dengan lebatnya, jadi air hujan yang turun dari arah bukit terus menghentam longkang yang tak mampu untuk mengaliri air yang begitu banyak yang akhirnya menyebabkan banjir di situ. Perkara ini telah lama berlaku, iaitu sejak tersergamnya bangunan Limbang Plaza.

**************************************************

Ketiganya; masjid Jamek baru Limbang sudah hampir siap, tetapi jika dilihat lokasi bagi masjid baru tu, ia agak jauh dari penempatan penduduk dan agak jauh dari pusat bandar Limbang. Cuma kita tunggu, bagaimana masjid itu boleh dipenuhkan dengan jemaah-jemaah berbanding dengan masjid lama yang amat sukar juga untuk dipenuhi oleh jemaah-jemaah bila waktu solat fardhu.

*****************************************************

Dan keempatnya; semasa aku nak memperbaharui pasport anak aku, Ameer Hariz aku terpandang sebuah buku karya Haji Said Bin Haji Mohidin yang berjudul Pemberontakan Di Brunei 1962 Sabah Dan Sarawak Terkena Tempiasnya yang dijual oleh Cikgu Haji Asrah. Buku tu Cikgu Haji Asrah letak kat meja tempat dia menaip borang permohonan membuat pasport, jadi aku terpandanglah lalu terus aku capai dan beli dengan harga RM25.00.

Bagi aku, walaupun buku ni tak sepenuhnya menggambarkan kesan atas perjuangan menentang penjajah, namun orang Limbang patut memiliki buku ini untuk mengetahui sejarah dan perjuangan sebahagian daripada penduduk Limbang dalam merealisasikan semangat kemerdekaan di tanah air kita ini. Agar kita tahu, siapa yang sanggup mengorbankan nyawa bagi memastikan tanah air dapat dilepaskan dari cengkaman penjajah melalui pertempuran.

Jadi, aku tak dapat nak ulaskan banyak sangat isi buku ini kerana sebahagian besar cerita dalam buku ini banyak mengisahkan tentang liku-liku pertempuran Haji Salleh Bin Haji Sambas dan individu tertentu dengan pihak penjajah. Cubalah biskita membacanya.

************************************************