Tags

WAKTU malam di Limbang aku rasakan terasa bahang-bahang yang jika dirasai dengan mata hati, mewah dengan kehidupan yang merimaskan kewibawaan penghuni yang majoritinya bumiputera Islam. Namun, kerimasan itu sudah tiada terasa lagi kerana seakan kehidupan yang “diperam” sudah menjadi sebati kepada penghuni yang bermajoriti di situ. Tak terasa akan kebahangan yang hangat dengan dentuman maksiat yang semakin bergema di sudut bandar Limbang.

Ke manapun jalan yang terbina di Limbang pasti terdapat hentian yang boleh untuk warga malam berhibur dengan tenang tanpa rasa “cuak” untuk berpesta. Seakan-akan Limbang sebagai tempat yang bebas dengan pesta-pesta yang boleh merosakkan jiwa dan jati diri manusia itu sendiri (bukannya sahaja di Limbang, bahkan di mana-mana sahaja). Bukan jua aku nak mempertikaikan apa yang berlaku di Limbang, namun, bimbang ia akan berakar umbi dan susah untuk dilenyapkan suatu masa kelak. Biarpun ada yang berkata, tak teruk sangat, biasa je dan mungkin ada yang berkata hanya hiburan semata-mata, tak de apa-apa pun.

Kesan jangka panjang atas kerosakan sosial amat tidak ekonomik, kerana ia boleh menelan kos yang tinggi atas kerosakan sosial yang melanda ke atas masyarakat disekitar. Bukan sahaja dari sudut kewangan, malah keruntuhan institusi keluarga akan berlaku, kesan psikologi ke atas masyarakat sekitar dan bebanan ke atas rakyat yang menanggung kos-kos kesan ke atas kerosakan yang telah berlaku.

Mungkin ia satu lumrah bagi bandar yang sedang membangun dalam meniti arah mana yang akan dijejaki bagi memantapkan sosioekonomi yang masih tercari-cari. Tapi, perlukah dikorbankan ciri-ciri kebaikan semata-mata untuk membangun sebuah kemodenan yang belum pasti lagi memberi impak yang baik ke atas masyarakat sekitarnya, kerana kemodenan yang dicipta itu dipelopori oleh masyarakat itu sendiri.

Mungkin juga kemodenan yang dicipta kelak berlaku juga, tetapi kemodenan yang tidak selari dengan naluri manusia yang inginkan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Jadi, “lanskap” pembangunan yang sedang digunakan oleh Limbang sekarang ini mungkin “lanskap” yang sama dengan bandar-bandar lain di sekitarnya. Pasti, permasalahan dan kerumitan dari sudut sosioekonomi yang sama akan timbul di Limbang juga.

Mungkin perlu untuk Limbang mempunyai “lanskap” pembangunan yang ia cipta sendiri ataupun yang di “upgred” kan yang bersesuaian dengan flora dan fauna Limbang disertai dengan nilai-nilai agama.

Aku rasa waktu sekaranglah yang sesuai bagi “pembesar-pembesar yang berkuasa” untuk membuat perubahan yang teratur dan bijaksana bagi menyuburkan kemodenan dunia dan akhirat yang bercirikan mesra agama, terutama agama Islam untuk kebaikan bersama.