Tags

BIASANYA aku bertolak dari rumah dalam 5 – 10 minit untuk sampai ke pejabat jika tidak ada gangguan di jalan. Kelajuan yang biasa aku pandu dalam lingkungan 40 – 60 km sejam itupun jika aku tak memandang ke kiri dan kanan, sebab kiri dan kanan aku masih lagi hijau dengan alam semulajadi, jika aku melalui jalan di Kampung Pabahanan, Buang Siol, Limpaung, Bukit Kota dan Pemukat. Suasana kampung di situ masih lagi dara dengan kekampungan walaupun bekalan elektrik dan air sudah dimiliki semua penghuni di situ. Cuma kekaguman yang aku nak perlihatkan tentang ciri-ciri rumah yang masih lagi dengan plan yang bercirikan “klasik” walaupun tak seratus peratus membaluti tubuh rumah tersebut.

Selepas aku tinggalkan suasana kampung tersebut, wajah moden pula mewarnai bandar Limbang, paling gah aku tengok, bangunan Limbang Plaza. Tubuh bangunan tersebut diwarnai dengan warna garang dan moden. Mungkin nak memberitahu bahawa Limbang kini sudah disentuh oleh kemodenan seperti bandar-bandar lain yang sedang tumbuh dengan pesat bila terbinanya bangunan tinggi-tinggi, seolah-olah sekarang ini, jika nak moden kena bina bangunan tinggi-tinggi barulah dikatakan moden. Jika  tiada bangunan tinggi, bererti kemodenan belum lagi sampai di tempat itu.

Tapi aku tak berapa kesah dengan apa yang dibangunkan dipersekitaran bandar Limbang itu, yang aku gusarkan bagaimana dahulu di tempat berdirinya bangunan-bangunan yang ada sekarang merupakan tanah-tanah kampung orang melayu yang telah dibangunkan dan kebanyakan penetap-penetap yang tinggal di situ dulu tidak dapat lagi mengecapi keuntungan yang berterusan dan dikecapi pula oleh orang-orang mempunyai kocek yang tebal dengan kertas-kertas yang berwarna yang merasai keuntungan yang berterusan.

Dan kini, pembangunan semakin menjalar dan dalam pembangunan yang dibangunkan itu mengorbankan pelbagai hak-hak orang melayu atau penduduk asal yang menghuni tanah-tanah yang ada di situ, mereka ini akan diberi sekelumit keuntungan yang sekejap dirasai dan mereka juga setuju dengan apa yang diberi tanpa penuh kesedaran kerana mabuk dengan dunia yang memabukkan.

Aku rasa suatu hari nanti kampung-kampung yang ada sekarang pasti akan disingkirkan di daerahnya sendiri dan akan tinggallah nama-nama jalan kampung itu sahaja nanti seperti Jalan Kampung Bukit Kota, Jalan Kampung Limpaung, Jalan Kampung Pabahanan, Jalan Buang Siol dan Jalan Kampung Pemukat.

Pembangunan yang sepatutnya dirasai oleh yang empunya hak akan dinafikan, atau ternafi dengan kekurangan yang ada, atau sememangnya kita tak hendak mengejar pembangunan yang diberikan hanya sekadar cukup yang ada, yang penting cukup makan, ada kereta, ada rumah dan orang tak kacau kita.

Aku bukan nak nafikan pembangunan tapi biarlah dikecapi bersama dalam suasana yang tenang antara pelbagai pihak dan dalam pembangunan itu sendiri wujudnya keserasian antara akhirat dan duniawi.