Tags

AKU tak pasti sangat keadaan di Limbang sewaktu ini, cuma yang aku rasa Limbang suatu tempat yang waktu paginya akan sesak dengan kenderaan untuk menghantar budak-budak sekolah samada menggunakan bas sekolah, bapa atau emak yang akan menghantar anak-anaknya ataupun pelajar itu sendiri yang akan menunggang motosikal atau kereta. Selepas itu, ia sibuk dengan kenderaan kakitangan kerajaan dan swasta di jalan untuk ke pejabat. Lepas itu ia akan berkurangan, dalam lingkungan pukul 12 hingga 1 akan sibuk lagi dengan kenderaan mengambil budak-budak sekolah dan kakitangan kerajaan yang akan balik ke rumah untuk makan tengahari. Selepas itu ia akan berkurangan lagi dan pada waktu petang jam 5 akan sibuk lagi dengan kakitangan kerajaan dan swasta untuk balik ke rumah. Dan selepas itu akan sepi sehingga ke malam hari.(Ia taklah sesepi yang digambarkan, cuma kurangnya kenderaan yang bergerak)

Panorama malam di Limbang begitu lembut sekali namun persekitarannya hangat dengan pub-pub yang menghairahkan jika singgah di situ, di lorong-lorong yang sepi masih lagi aku ingat sekawan gadis-gadis muda memikat sang lelaki mengajak “ditemani”, dan juga pada masa itu, aku sering ternampak gerai-gerai minuman yang memabukkan begitu hidup bila menjelang malam. Anak-anak muda akan duduk di situ untuk meneguk air yang memabukkan sehingga mata diwarnai warna merah dengan cakap-cakap yang tak tentu hujung pangkalnya. Di tepi-tepi jalan juga aku melihat anak-anak muda yang membuka gerai burger serta makanan ringan serta minuman ringan bagi mereka yang suka melepak, dengan gitar di tangan beralunkan lagu-lagu rock. Dan juga, aku akan melihat sepasang kekasih beradu asmara di Tebingan sungai Limbang, di Taman Tasik Mas dan di tempat-tempat yang tersembunyi.

Kalau dulu aku suka melepak di gerai-gerai makan “open air” sambil menghirup teh tarik “kaw” bersama teman-teman sehingga larut malam (itupun malam minggu), malam-malam lain aku akan balik awal. Kemeriahan gerai-gerai makan di waktu malam amat terasa sejak akhir-akhir ini. Dahulu, jika tak salah aku, gerai-gerai makan ditempatkan di tebingan sungai Limbang(esplaned), tak lama lepas itu dipindahkan di hadapan Masjid Limbang dan dipindahkan lagi di belakang Jabatan Imegresen Limbang. Sehingga kini ia masih kekal lagi di situ. Aku lihat kebanyakan yang berniaga di gerai makan malam banyak dimonopoli oleh orang luar dan orang Limbang tak ramai sangat, boleh dikira. Entah, mengapa ia boleh terjadi…?

Biasanya, gerai makan malam tamat operasinya sehingga jam 12 malam, begitulah juga dengan pub-pub dan lebih meriah lagi bila hujung minggu…dan kebanyakan yang berkerja di pub-pub yang sering aku lihat wanita-wanita dari Filipina dan Indonesia. Dan pengunjung-pengunjungnya terdiri daripada orang-orang tempatan, orang-orang luar yang bekerja di Brunei dan juga mungkin ada di kalangan mereka dari negara jiran.

Adakah hanya dengan ini sahaja yang aku dapat lihat bila waktu malam memunculkan dirinya?

Jika aku lihat masjid dan surau-surau di Limbang agak lenggang sekali, kebanyakan mereka yang singgah di masjid dan surau yang sudah berumur dan berpencen. Anak-anak muda jarang sekali menunjukkan dirinya, kalau adapun sikit bilangannya. Walaupun bandar Limbang amat terhad kawasannya untuk dibangunkan namun terhadnya pembangunan dari sudut agama amat  dirasai. Di Limbang hanya mempunyai satu sekolah aliran agama, yang terletak berhampiran di Kampung Pahlawan dan hampir lagi dengan Kampung Tabahan. Kebanyakan pelajar-pelajar terdiri daripada Lawas dan Limbang, namun kewujudan sekolah agama ini masih belum dapat untuk melahirkan generasi yang berpegang teguh dengan nilai-nilai agama yang mantap dan teguh. Dan jika dipantau akan kewujudan Ustaz dan Ustazah yang berasal dari Limbang agak kecil bilangannya, yang terdapat dengan banyaknya Ustaz dan Ustazah hanyalah mereka-mereka yang berasal dari luar Limbang. Jadi, aku fikir perlulah penduduk Limbang memikirkan tentang anak-anak yang ada di Limbang, bagaiman adanya hafiz-hafizah, alim-alimah dan pakar-pakar yang datang dari Limbang. Ada juga aku dengar, kebanyakan mereka yang berasal dari Limbang lebih suka berkhidmat di tempat lain berbanding di Limbang.

Mungkin mata aku dah mengantuk, nantilah aku sambung semula kisah-kisah di Limbang…