Tags

HARI Raya semakin hampir, tinggal beberapa hari lagi. Aku tengok semua dah sibuk dengan persiapan untuk berhari raya. Ada antara yang dah balik ke kampung, membersih rumah, menempah kuih-muih, membeli biskut, menempah baju raya, shooping, membeli perkakas dan peralatan rumah dan hampir semua aku rasakan untuk perayaan perlu nak dibeli serta baru.

Dari yang tua hingga ke kanak-kanak semuanya sudah dan hendak membeli barangan untuk persiapan berhari raya. Mungkin juga ada yang nak berkahwin di hari raya ini ataupun nak bertunang dan banyak lagi perancangan yang nak dibuat di bulan nanti. Mungkin juga dengan kedatangan adik-beradik dan saudara-mara yang jarang berkumpul membuat semua perancangan diadakan di bulan Syawal.

Mungkin waktu ini, kanak-kanak lah yang paling gembira dengan kehadiran 1 Syawal yang ditunggu nanti. Dengan mercun dan bunga api yang memeriahkan sambutan Syawal ini. Dengan mendapat pakaian baru serta kasut baru membuat terasanya bahang Syawal. Begitu juga dengan warga tua yang tak kurangnya gembira dengann kedatangan anak-anak di kejauhan serta dengan cucu-cucu yang dirindui.

Dan kemeriahan ini kadang-kadang kita dapat berkongsi sama dengan kaum-kaum yang lain walaupun mereka tak merayakannya.

Dan juga disebalik kemeriahan itu ada juga yang kesedihan menyambut Syawal tanpa orang yang tersayang, mungkin kerana menjalankan tugas, dah tiada lagi di dunia ini dan pelbagai lagi keadaan yang menyebabkan tak dapat bersama di hari yang berbahagia ini.

Aku masih lagi di Kuala Lumpur, kawan-kawan yang lain, ada yang dah balik dan Insya Allah, esok aku akan bertolak ke Sarawak. Perjalanan begini bagi aku bagaikan sudah biasa dengan melihat ragam manusia yang sama-sama nak balik, ada yang teramat gembira, sederhana gembira dan gembira ataupun biasa sahaja.

Biasanya, kebanyakan yang balik kampung akan terasa gembira kerana dapat bertemu dengan orang-orang tersayang, lebih-lebih lagi di musim perayaan sebegini yang memberi keseronokan bila nak balik.

Kepenatan akan hilang bila kepulangan dinanti oleh mereka-mereka yang tersayang dengan senyum dan tawa.

Dan perkara ini akan berlaku tiap-tiap tahun bila bermulanya musim perayaan bagi semua manusia dan akan hilang pada hari raya yang kedua, ketiga dan keempat dan seterusnya …dan seperti biasa.

Dan yang mungkin menanti kita nanti hanyalah…bebanan hutang,…kering poket,….ataupun keluhan.