Tags

RAMADHAN datang lagi. Semasa aku di Limbang, bualan Ramadhan amat ditunggui oleh peniaga-peniaga sambilan. Sebab aku tengok muka-muka yang berniaga di bazar Ramadhan hampir 70% merupakan peniaga-peniaga yang sebegitu. Selepas Ramadhan, mereka-mereka ini akan balik kepada asal-usul mereka, iaitu ramai di antara mereka ini merupakan pekerja-pekerja kerajaan, dan bulan Ramadhan digunakan untuk mereka mengasah bakat usahawan mereka.

Kedatangan Ramadhan sedikit sebanyak memberi ruang untuk mereka ini berniaga dan mencari duit poket sikit untuk belanja raya nanti. Walaupun pendapatan yang diperolehi mereka agak “sedang-sedang” atau cukup-cukup makan, namun bagi mereka, ia merupakan sumbangan untuk bulan Ramadhan atas pengorbanan mereka berniaga. Bagi mereka bulan Ramadhan merupakan bulan untuk meraih rezeki dan menonjolkan bakat-bakat yang terpendam selama 11 bulan.

Isu yang aku nak ketengahkan adalah tentang peniaga-peniaga sambilan ini, ia mungkin bagus untuk memberi didikan atau asuhan kepada mereka-mereka ini untuk berniaga. Namun, adakah hanya pada bulan Ramadhan, jika mereka-mereka ini tak berniaga, siapa pula yang nak jual makanan dan minuman untuk orang yang berbuka puasa nanti? Adakah perlu kita nak berbuka puasa mesti membeli di bazar Ramadhan sahaja, tak bolehkah kita buat sendiri makanan dan minuman untuk kita berbuka sendiri.

Mungkin orang ramai akan menjawab, nak rasa juga kuih-muih yang lain, boring juga makan masakan sendiri, atapun ada yang berkata tak ada masa nak sediakan juadah untuk berbuka puasa ataupun sememangnya pesta untuk kita merasai juadah untuk berbuka puasa, itupun pada bulan Ramadhan sahaja, bulan lain tak ada kuih-muih ni lagi, nak merasa juga.

Jadi, bulan Ramadhan ini bolehlah aku kira sebagai bulan untuk mencari rezeki, mencuba juadah-juadah yang baru dan masa untuk berehat bagi para wanita-wanita untuk tidak bermasak. Tapi tak semuanya wanita-wanita ini beli juadah berbuka di bazar Ramadhan, yang rajin mereka akan memasak sendiri.

Bagi aku yang tak terlibat dengan berniaga di bazar Ramadhan dan mungkin juga tak terlibat untuk membeli juadah di bazar Ramadhan cuma tumpang seronok melihat kemeriahan yang berlaku di sekitar bandar Limbang pada waktu itu. Kemeriahan itu hanya sebulan dan selepas itu suasana itu akan hilang balik.

Namun, kemeriahan sebegini jarang aku lihat kepada pengisian yang berbentuk keagamaan, dimanakah mereka-mereka ini tadi yang telah memeriahkan suasana di bazar Ramadhan?

Adakah itu erti Ramadhan bagi kita semua? Tenaga, masa dan wang ringgit kita banyak disumbangkan kepada kemeriahan yang selain dari kemeriahan untuk memeriahkan suasana bulan ibadah itu sendiri.