Tags

ENAM haribulan Ogos ini tadi aku balik ke Limbang sekejap menziarahi keluarga aku yang dah sebulan tak aku ziarahi. Bagi aku, ia merupakan jangka masa yang agak panjang tidak disisi isteri dan anak-anak tersayang. Aku di Limbang cuma tiga hari sahaja, dan masa yang pendek itu aku gunakan semaksimum yang ada untuk bersama dengan keluarga.

Aku lihat Limbang masih seperti dahulu lagi, dengan jalan-jalan yang sering sesak bila waktu puncak, ia disebabkan keadaan bandar Limbang yang terhad posisinya yang diapit oleh bukit-bukau dan sungai. Pertumbuhan bandar Limbang untuk berkembang secara agresif agak lambat dan terhad kerana faktor-fktor geogarafi yang sering menidakkan kepesatan Limbang, walaupun ia berjiran dengan negara Brunei DS. Bandar kedua yang diwar-warkan belum lagi menampakkan wajah yang serius untuk membangun dalam waktu terdekat ini bagi mengganti lokasi bandar Limbang yang sediada. Bila akan digerakkan belum pasti, yang pasti ada pro dan kontra akan menyelubungi penduduk yang sediada di sekitar lokasi lama dan paling terasa dengan pengalihan pusat bandar itu adalah peniaga-peniaga kecil yang telah lama menampak di situ.

Dalam tiga hari aku di Limbang, terdengar juga aku tentang pasport yang akan dicop semula, dimana sebelum itu, pasport yang ada hanya “discan”, jadi ia tidak dipenuhi dengan cop mendarat dan berlepas dan ia tak cepat habis. Jika dibuat semula amalan secara mengecop, pasti pasport rakyat Limbang akan cepat habis muka suratnya dan terpaksa diperbaharui, jika pasport terhad,harganya RM150 dan pasport antarabangsa RM300. Jadi, perkara inipun menjadi isu bagi penduduk Limbang semasa aku di Limbang waktu itu. Yang aku dengar ia dicop semula kerana ada dikalangan penduduk terbabit keluar/masuk di sempadan tak berpasport.

Bagi aku, ia tak memberi kesan signifikan sangat asalkan tiada perkara yang tidak baik yang dibawa semasa melalui sempada, kitakan bersaudara, di Limbang dan Brunei DS banyak pertalian darah yang sukar untuk dipisahkan.