Tags

Abu Said Al-Khudri bercerita:

Rasulullah s.a.w. bersabda: Saat aku memasuki syurga dalam perjalanan Isra’ Mi’raj dan aku berjalan di bawah pepohonannya, maka terlihat olehku sebatang pohon besar yang sangat lebat buahnya. Aku lalu memetik sebiji dari buah-buah itu, lalu dia memecah menjadi empat bahagian. Dari setiap bahagian dari buah itu keluar pula seorang bidadari, sekiranya ia menjengukkan wajahnya keluar, niscaya akan terfitnah sekalian penduduk langit dan bumi. Dan sekiranya mereka mengeluarkan tangannya saja menjadi reduplah sinar matahari dan bulan. Dan sekiranya mereka tersenyum, niscaya seluruh langit dan bumi menjadi harum baunya.

Aku bertanya: “Untuk siapakah dirimu ini?”

Orang pertama di antara mereka menjawab: “Hamba ini ialah calon isteri bagi Abu Bakar As-Shiddiq.”

“Baiklah, kini pergilah anda ke istana yang disediakan untuk suamimu itu,” kataku kepadanya.

Kemudian aku berpaling pula kepada yang lain, lalu bertanya pula kepadanya soalan yang sama, iaitu: “Anda pula bakal milik siapa?”

“Hamba adalah calon isteri bagi Umar bin Khattab!” jawabnya tegas sekali.

“Baiklah, pergilah anda juga ke istana yang dikhususkan untuk bakal suamimu!” kataku pula.

Aku berpaling kepada yang ketiga, seraya bertanya dengan soalan yang sama: “Untuk siapa pula anda ini?”

“Hamba ini adalah untuk orang yang telah dipenuhi segala tubuh badannya dengan darah kesyahidan. Dia itu tiada lain daripada Usman bin Affan!” jawabnya seperti jawapan teman-temannya yang lain.

“Baiklah, sekarang kembalilah anda ke istana yang disiapkan untuk bakal suamimu,” kataku kepadanya.

Lalu aku berpaling pula kepada orang yang keempat, lalu bertanya kepadanya soalan yang sama: “Siapa pula orang yang akan memilikimu?”

Bidadari itu mendiamkan diri sejenak. Setelah itu ia pun berkata kepadaku:

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menciptakan hamba sama seperti kecantikan bentuk dan rupa puterimu Sit Fatimah, kemudian Allah telah memberi hamba nama yang sama dengan nama Siti Fatimah, lalu Dia telah mengahwinkanku dengan Ali bin Abu Talib r.a. seribu tahun lebih dulu daripada Ali mengahwini puterimu Siti Fatimah.”

Demikianlah, mereka itu adalah khalifah-khalifah Nabi s.a.w. sahabat-sahabatnya serta pembantu-pembantunya. Mereka sekalian akan berkumpul dengan baginda di syurga yang tinggi.

Moga-moga Allah meridhai mereka sekalian, dan meridhai kita juga bersama-sama mereka itu, Amin!

Sumber: Untaian Kisah Para Wali Allah – Allamah Alyafi’iy

Ditulis semula Syed Ahmad Semait