Tags

Hadiah merupakan tanda kasih. Ia menjadi simbol atau ikatan kepada kasih yang dijalinkan. Hadiah adalah penghubung kasih, Islam menggalakkan kita memberi hadiah. Hadiah boleh berupa benda atau makanan tapi lebih tepat memberi sesuatu yang disukai oleh si penerima. Apabila hadiah diberi, kasih akan bertambah.

Maksud memberi hadiah hanyalah untuk mengeratkan kasih sayang, bukan bertujuan memenuhi sesuatu keperluan dan permohonan kita. Dengan ini jikalau anda memerlukan sesuatu daripada seseorang, janganlah menghadiahkan apa-apa kepadanya pada ketika yang sama. Ini akan memberikan gambaran seolah-olah hadiah tersebut digerakkan oleh sesuatu maksud yang tersembunyi. Pemberian hadiah yang disertai dengan sesuatu maksud untuk memperolehi sesuatu balasan faedah, sebenarnya adalah rasuah dan bukannya hadiah dan ia sepatutnyalah ditolak.

Bukanlah sedikit atau kurang bernilai yang menjadi pokok pangkalnya tetapi terarah kepada keikhlasan orang yang memberi hadiah tersebut. Dan jika maksud memberi hadiah untuk menperolehi pahala di akhirat, ia bukanlah hadiah, ia merupakan sedekah.

Terimalah hadiah daripada seseorang yang tidak mengharapkan apa-apa balasan daripadanya, jika tidak akhirnya akan timbul rasa kurang senang di hati. Walaubagaimapun orang yang menerima hadiah patutlah berusaha untuk membalas dan paling kurang ucapkanlah tanda berterima kasih atas pemberian yang diterima.(Seorang yang tidak menyatakan terima kasihnya kepada orang yang melakukan kebaikan, sebenarnya tidak menyatakan kesyukuran kepada Allah).

Janganlah menolak hadiah kerana nilainya yang kecil serta kurang banyak jumlahnya dengan rasa kecongkakan dan angkuh. Dibenarkan menolak hadiah yang diketahui bahawa si pemberi hadiah sebenarnya memerlukan dan berkeadaan miskin.

Cubalah untuk memberi hadiah kepada orang yang paling hampir dengan kita iaitu ibubapa, isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang terdekat serta rakan-rakan agar wujud kasih sayang antara kita.

Rujukan :
1. Adab-adab Kehidupan Bermasyarakat oleh Hadrat Maulana Ashraf Ali Thanwi rahmatullah alaihi.
2. Isteriku Tanggungjawabku oleh Dr Nasoha Saabin.