Tags

Hari ni saya nak berkongsi dengan pembaca mengenai kelebihan Manzil. Mungkin ada di antara pembaca tak tahu, mungkin lupa ataupun baru nak dengar tentang Manzil ini. Jadi tak apa, kita teruskan tentang apa sebenarnya Manzil ini.

” Manzil ini mengandungi beberapa ayat Al Quran yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada Para Sahabat r. ‘anhu selaku Syifa’ (penawar dan ubat) bagi beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari sihir, gangguan jin dan lain-lain.”

(Manzil Rasam Uthmani : Ayat Munjiyat, Syifa’ dan Doa Abu Darda r. ‘anhu, Muqaddimah)

Dalam hadis Nabi s.a.w juga ada mengatakan tentang Manzil : “Ubai Bin Kaab r. ‘anhu meriwayatkan : “Sewaktu kami bersama Rasulullah s.a.w datang seorang Badwi kepada Baginda seraya berkata : “Ya Rasulullah, saya ada seorang saudara yang ditimpa penyakit. “Baginda s.a.w bertanya : “Penyakit apa?” Jawabnya : “Sejenis gila.” Rasulullah s.a.w minta orang ramai itu membawa saudaranya kepada Baginda.

Baginda s.a.w membaca surah Al-Fatihah, 4 ayat Surah Al-Baqarah [2 : 1-4], ayat Wa ila hkum ilahu wahid [2 : 163], Ayat Kursi [2 : 255], 2 ayat seterusnya [2 : 256-257], 3 ayat akhir Al-Baqarah [2 : 284-286], ayat Syahidallahu annahu [3 : 18], ayat akhir Al-Mu’minun [23 : 118], ayat Surah Jin; Wa annahu ta’ala [72 : 3], 10 ayat Surah Was Syaffat [37 : 1-10], 3 ayat akhir Al Hasyar [59 : 22-24], Surah Al-Ikhlas [112 : 1-4], Surah Al-Falaq [113 : 1-5] dan Surah An-Nas [114 : 1-6].

Kemudian orang yang sakit itupun bangun dan pergi dari situ. Penyakitnya telah hilang.

(Kanzul Ummal : Jilid 1, ms 212),(Manzil : Rasam Uthmani, Muqaddimah)

Ada 2 cara bagi mengubati pesakit, 1. Pesakit membaca sendiri ayat-ayat berkenaan; dan 2. Dibaca oleh orang lain lalu hembus di atas air. Kemudian air itu diminum oleh pesakit.

(Manzil : Rasam Uthmani, Muqaddimah)

Mungkin jarang untuk kita menggunakan Manzil ataupun mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Ia merupakan rawatan yang begitu berkesan jika amalan ini dibuat dengan Tawajjuh (perhatian yang penuh kepada Allah, semasa membaca). Keberkesanannya telah dibukti oleh hadis di atas, dan juga ia sebagai amalan kehidupan Alim Ulamak bagi memenuhi segala hajat atau keperluan, sama ada duniawi atau ukhrawi dan ia baik untuk mengelakkan daripada gangguan syaitan, sihir, pencuri, binatang buas dan lain-lain.

Ada antara Ulamak-ulamak mengesyorkan agar menggantungkan ayat-ayat tersebut setelah ditulis di leher pesakit yang terkena sihir atau kerasukan, ataupun jika terdapat gangguan di rumah boleh percikkan air yang telah dibaca dengan ayat-ayat Manzil tersebut di empat penjuru rumah.

Jadi, cuba amalkan satu daripada ribuan amalan Baginda s.a.w dalam kehidupan kita kerana keberkatan nama-nama Allah dan Kalimah-kalimah-Nya tidak dapat disangkal lagi dalam merawati kehidupan manusia yang semakin parah dengan penyakit-penyakit rohani dan jasmani.